Geng Lee aktif samun kedai 24 jam tumpas
AMPANG JAYA - Kegiatan Geng Lee yang dipercayai aktif menjalankan jenayah samun kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang akhirnya tumpas dalam serbuan berasingan di kawasan Wangsa Maju dan Pudu pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kumpulan dianggotai lima lelaki itu berumur antara 20 hingga 30 tahun.
"Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang dijalankan bermula jam 5.15 petang berjaya memberkas suspek di beberapa kawasan sekitar ibu kota.
"Suspek yang ditahan terdiri daripada pembantu kedai dan penganggur," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, modus operandi suspek adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan kedai serbaneka 24 jam.
"Hasil dari kegiatan berkenaan dibahagikan antara suspek untuk kegunaan perbelanjaan harian.
"Siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam dua kes samun kedai serbaneka di sekitar Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, tangkapan dijalankan turut meramas sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek ketika menyamun.
"Antara dirampas adalah beberapa telefon bimbit, pakaian, baton, gari berserta kunci, wang tunai RM300 dan pelbagai barangan lain.
"Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau selain ujian saringan dijalankan mendapati positif dadah," katanya.
Ujar Mohamad Farouk, kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.
"Polis masih mengesan beberapa individu lain dipercayai terlibat dalam jenayah samun ini dan siasatan masih dijalankan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!