Jangan budayakan mohon maaf selepas fitnah

Mahfuz (Gamabr kanan : Laporan Sinar Harian pada Khamis.)
Mahfuz (Gamabr kanan : Laporan Sinar Harian pada Khamis.)
A
A
A

ALOR SETAR - Masyarakat kita disogokkan dengan fitnah politik bagi membunuh karektor individu untuk menang dalam sesuatu persaingan khususnya dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia menular tanpa sempadan sehinggakan budaya memohon maaf selepas memfitnah seakan menjadi trend parti tertentu.

Menurutnya, perbuatan negatif itu wajar dikawal dengan mengenakan tindakan tegas terhadap pelaku berdasarkan akta sedia ada.

“Ia perlu dibendung dan dikawal oleh pihak berkuasa bagi mengelak perbuatan itu berulang dan berterusan dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Tindakan tegas perlu sebagai pengajaran dan bukan sekadar mohon maaf selepas mengakui kesalahan fitnah yang dilakukan,” katanya selepas menjayakan program sembang santai Chitchat Dr Ismail Salleh: Fitnah, senjata takutkan rakyat pada Sabtu malam.

Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah berkata, perkara ini perlu dilihat sebagai ancaman baharu dalam masyarakat berikutan budaya fitnah merosakkan pemikiran khususnya anak muda.

“Saya sedih melihat anak muda terdedah dengan fitnah politik terutama ketika kempen PRU15 yang berleluasa dalam ceramah parti. Sepatutnya golongan berusia terutama pemimpin bimbing anak muda melakukan perkara baik bukan merosakkan pemikiran mereka dengan fitnah terutama di media sosial,” ujarnya..

Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) didakwa menggunakan konsep seumpama dengan menakutkan rakyat menerusi fitnah yang dilemparkan terhadap parti lawan.

“Saya bukan menuduh tanpa bukti, mereka timbulkan persepsi negatif terhadap parti lawan dengan memburukkan pemimpin tertentu,mewujudkan rasa takut dalam masyarakat menyebabkan pengundi pilih PN,” ujarnya.

Mahfuz berkata, kes terbaharu membabitkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Taiping berhubung kes saman fitnahnya sekali gus membuktikan budaya politik fitnah sememangnya berleluasa.

Saman berkenaan ialah berhubung ucapan yang dibuat pada 6 November tahun lepas mengaitkan Anwar dengan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol menarik balik semua fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar.

Dalam pada itu, Mahfuz menyifatkan pengakuan Razman itu membuktikan ia perbuatan salah dan wajar dikenakan tindakan mengikut akta sedia ada.

“Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis masih boleh ambil tindakan walaupun si pelaku sudah mohon maaf. Kita tidak mahu wujud persepsi sekiranya buat salah dengan memfitnah selepas itu minta maaf untuk lepaskan diri. Budaya ini tidak dapat dihentikan kelak dan akan digunakan sebagai senjata politik,” jelasnya.

Beliau berkata, kelemahan penguatkuasaan terhadap perbuatan memfitnah sama ada secara fizikal mahupun media sosial akan menjadikan keadaan semakin parah.

“Maklumat palsu atau fitnah secara berterusan adalah satu kesalahan. Tidak perlulah tunggu ada laporan baru diambil tindakan. Kita ada akta berkaitan, klausa perundangan serta teknologi untuk kesan pelaku terlibat.

“Mungkin ketika kerajaan PN terajui negara, ia dipandang remeh. Namun tidak mencukupi dengan hanya tutup akaun terlibat, ia perlu disusuli dengan tindakan seperti denda atau penjara terhadap pelaku sebagai pengajaran dan untuk timbulkan keinsafan,” katanya lagi.

Mahfuz turut bimbang sekiranya tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa, kelak timbul pula persepsi buruk terhadap agensi terlibat.

“Jangan biarkan negara kita dilihat sebagai negara yang membudayakan fitnah sehingga berleluasa tanpa ada tindakan. Perbuatan ini wajar dikekang menerusi penguatkuasaan undang-undang sedia ada,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!