Beku akaun: 'Muhyiddin perlu bersikap adil, jangan bermuka-muka'
KUALA LUMPUR - Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mengingatkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak bersikap bermuka dua atau bermuka-muka susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membekukan akaun parti itu.
Bercakap pada sidang akhbar Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pejabat Parlimen Lembah Pantai 2023 di sini pada Ahad, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, parti itu perlu bersikap adil dalam isu berkenaan.
“Saya hendak ingatkan ahli Bersatu untuk pastikan Presiden (Muhyiddin) mereka supaya jangan bermuka-muka tentang kedudukan mereka terhadap pembekuan akuan mereka oleh SPRM.
“Ini adalah peringatan mesra yang mereka perlu beritahu kepada Presiden mereka apa yang adil dan yang mana tidak adil,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bersatu Puchong yang membuat laporan terhadap SPRM.
Laporan itu merujuk perbelanjaan ‘mewah’ Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Muhyiddin pada 2 Februari lalu mengingatkan supaya tidak menjadikan pembekuan akaun parti itu oleh SPRM sebagai 'motif politik' untuk melumpuhkan jentera pembangkang dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Sinar Harian pada 31 Januari lalu melaporkan akaun Bersatu dibekukan sehari selepas parti itu mendedahkan penyata akaunnya kepada umum.
Pembekuan itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Menurutnya, akaun parti berkenaan dibekukan sejak dua minggu lalu bagi memudahkan siasatan yang dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Pada awalnya pembekuan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana rangsangan kerajaan berjumlah RM92.5 bilion semasa pandemik Covid-19 dan didakwa diselewengkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!