Gempa bumi: Enam hari bertarung nyawa

Bunyi yang didengari anggota penyelamat berjaya membawa kepada penemuan Hamza. - Foto Agensi
Bunyi yang didengari anggota penyelamat berjaya membawa kepada penemuan Hamza. - Foto Agensi
A
A
A

GAZIANTEP - Kejayaan membawa keluar seorang bayi berusia tujuh bulan dan seorang remaja perempuan dari bawah runtuhan bangunan di selatan Turkiye setelah terperangkap selama lebih 140 jam disambut dengan tangisan kegembiraan oleh pasukan penyelamat pada Ahad.

Media tempatan melaporkan bayi dikenali sebagai Hamza itu diselamatkan di Hatay, sementara Esma Sultan, 13, dibawa keluar daripada celah-celah konkrit di Gaziantep.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus digiatkan walaupun harapan untuk menemui mangsa yang mungkin masih hidup semakin tipis.

Namun, sejumlah mangsa termasuk bayi yang mampu bertahan tanpa makanan dan minuman selama hampir seminggu telah memberi harapan baharu kepada sebahagian keluarga.

Mereka mengharapkan berlaku keajaiban sama buat insan tersayang mereka yang masih terperangkap di bawah runtuhan.

Hassan Guntekin merupakan antara salah seorang mangsa gempa di bandar Antakya yang masih berharap untuk menemui isteri bersama tiga anak mereka dan ibu mertuanya.

“Saya masih menanti dengan penuh sabar walaupun mungkin hanya seorang anak saya yang terselamat. Dia akan memberi semangat kepada saya untuk teruskan hidup,” ujarnya dalam nada sedih.

Pada Sabtu, seorang bayi berumur dua bulan dan seorang warga emas antara yang berjaya dibawa keluar dari bawah runtuhan.

“Bayi itu masih bernyawa walaupun terperangkap selama 128 jam ketika operasi SAR diteruskan di Antakya.

“Anggota penyelamat juga berhasil mengeluarkan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, wanita sedang hamil enam bulan dan lelaki bersama anaknya yang berusia empat tahun,” lapor agensi berita Anadolu.

Sementara itu, menurut agensi bencana di Ankara, lebih 32,000 anggota daripada pelbagai pertubuhan menyertai operasi SAR berkenaan bersama 8,294 kru penyelamat antarabangsa.

Ketika ini sebuah ladang kapas di kawasan selatan itu juga dijadikan tempat persemadian korban gempa.

“Pihak berkuasa tidak mahu menunggu masa yang lama untuk mengebumikan mayat mangsa. Proses itu akan disegerakan kerana waktu makin suntuk,” kata Tuba Yolcu di Kahramanmaras. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!