Istanbul lokasi gempa kuat seterusnya?
ISTANBUL - Sebahagian penduduk di Istanbul menzahirkan kebimbangan setelah bandar terbesar di Turkiye itu diramalkan bakal menjadi lokasi gempa kuat seterusnya.
“Kini kami sentiasa hidup dalam ketakutan,” kata Aysegul Rahvanci yang khuatir akan menerima nasib sama seperti penduduk di bahagian selatan Turkiye yang terjejas gempa.
Sementara itu, Profesor Geologi di Yildiz Technical University berkata, Istanbul sememangnya terdedah gempa kuat berdasarkan permodelan tertentu dan data sebelum ini.
“Gegaran itu boleh terjadi pada bila-bila masa dan kami tidak terkejut jika ia benar-benar berlaku,” ujarnya.
Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu menerusi wawancara baru-baru ini menyatakan terdapat kira-kira 90,000 bangunan yang terdedah kepada gempa kuat di bandar berpopulasi kira-kira 20 juta penduduk itu.
“Kira-kira 170,000 struktur lain pula berada dalam senarai status risiko sederhana,” katanya yang merujuk kepada kajian dilakukan oleh Majlis Perbandaran.
Sejak Isnin lalu, sebanyak 2,356 gempa susulan telah direkodkan di Turkiye setelah gegaran berkekuatan 7.8 skala Richter menggegar selatan negara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran hampir 26 juta penduduk terjejas gempa kuat di Turkiye dan Syria.
Bagi meringankan beban mangsa, agensi kesihatan antarabangsa itu bertindak melancarkan rayuan kilat untuk meminta bantuan dana segera berjumlah AS$42.8 juta (RM185.4 juta).
Menurut WHO, golongan yang amat memerlukan itu termasuk kira-kira 350,000 warga emas dan lebih 1.4 juta kanak-kanak di kedua-dua negara.
Difahamkan, agensi berkenaan telah menyalurkan AS$16 juta (RM69.3 juta) daripada dana kecemasan mereka untuk mangsa gempa tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!