Berjalan sejauh 1,200 kilometer untuk lamar kekasih
BANGKOK - Seorang lelaki di Thailand sanggup berjalan kaki dari bandar kelahirannya di Nakhon Nayok pada 14 Januari lalu menuju ke Satun yang terletak sejauh hampir 1,200 kilometer (km) demi untuk melamar kekasihnya.
"Saya mahu individu yang tidak tahu menghargai insan tersayang termasuk yang curang terhadap isteri mereka supaya belajar dengan kembara saya ini," kata Suthep ‘Maew’ Promjit yang turut kehilangan lebih 17 kilogram berat badannya.
Sehingga Sabtu, Suthep telah berjalan kaki sejauh 1,100km dan tiba di Trang ditemani rakannya, Niwat Thongwithi, 50, yang menaiki saleng iaitu sebuah skuter khas.
Suthep dijangka tiba di kediaman teman wanitanya, Thanapa Khiaw-on di daerah Thung Wa pada Selasa.
Pasangan yang masing-masing berusia 56 tahun itu bertemu di TikTok kira-kira lima tahun lalu dan merancang untuk menjelajah ke seluruh negara selepas berkahwin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!