Lelaki nyaris lemas, rakan dihanyutkan arus deras
GOMBAK - Seorang lelaki sempat berpaut pada tebing sementara rakannya dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Pisang di sini dalam kejadian lewat petang Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 6.57 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 7.30 malam.
"Kejadian melibatkan dua lelaki berusia lingkungan 20-an yang dipercayai mandi di lokasi kejadian ketika hujan lebat," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, mangsa terselamat setelah berpaut pada tebing bagaimanapun terkandas di seberang sungai.
"Bagaimanapun, seorang rakan mangsa dipercayai telah dihanyutkan arus deras ketika kejadian.
"Usaha membawa naik mangsa dan mencari seorang lagi mangsa sedang dijalankan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!