Dua lelaki maut, langgar belakang lori
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, mangsa yang maut adalah Mohd Fateri Husein, 41, yang merupakan pemandu lori kontena bersama kelindannya, Sayfunizal Saad, 36.
Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Tok Beng Yeow berkata, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori muatan batu yang dipandu lelaki seorang diri dengan sebuah lori kontena muatan silikon yang dipandu seorang lelaki dengan seorang kelindan yang juga seorang lelaki.
“Dalam kemalangan ini menyebabkan kedua-dua mangsa yang berada di dalam lori kontena itu tersepit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans.
“Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai Baru dan BBP Kulai,” katanya.
Beng Yeow berkata, siasatan awal ditempat kejadian mendapati darjah kecuaian adalah berpunca dari kecuaian pemandu lori kontena itu sendiri yang cuai semasa memandu sehingga melanggar tepat di belakang lori.
“Lori tersebut yang sedang bergerak perlahan di lorong kiri berikutan mengalami kerosakan pecah tayar belakang sebelah kanan.
“Lokasi kemalangan merupakan jalan lurus dua hala dengan dua lorong dan satu jalan susur keluar. Kemalangan berlaku di lorong susur keluar Senai Utara.
“Kerosakan lori itu adalah di bahagian tayar belakang yang rosak teruk, manakala lori kontena itu hancur teruk bahagian hadapan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kulai untuk laporan bedah siasat dijalankan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap bomba memberitahu, dua jentera membabitkan dari BBP Bandar Kulai Baru bersama empat anggota dan BBP Kulai dan lima anggota dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.05 pagi bagi membantu mengeluar mangsa yang tersepit serta mengalihkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!