Bajet 2023 diharap fokus harapan rakyat jelata
MENURUT laporan akhbar pada Disember 2022, Malaysia merekodkan 434,197 ketua isi rumah (KIR) tergolong dalam kelompok miskin dan miskin tegar ketika negara terus mengalami tekanan kos sara hidup yang tinggi akibat inflasi.
Pastinya mereka itu tergolong isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang terdiri daripada warga emas, nelayan, petani, pemandu teksi, pesara, penjawat awam, pekerja swasta, peniaga, orang muda, orang kampung dan mereka yang dikenali sebagai miskin bandar.
Sehubungan itu, rakyat meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada pembentangan semula Bajet 2023 yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari ini.
Harapan rakyat adalah bagaimana kerajaan dapat meringankan beban kewangan isi rumah. Mereka mahu melihat peluang pekerjaan dan perniagaan yang banyak, bimbingan latihan untuk meningkatkan kemahiran bekerja serta segala bentuk input yang akhirnya dapat meningkatkan pendapatan bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin menekan ketika ini.
Rakyat juga ingin melihat bagaimana peruntukan dalam semakan bajet kali ini dapat mengurangkan komitmen bulanan mereka kerana ia bersandarkan kadar dasar semalaman (OPR).
Ia penting kerana boleh dikatakan ramai yang terlibat dengan pelbagai pinjaman antaranya perumahan, perniagaan dan pendidikan, selain perubatan.
Jika kos-kos tersebut dapat dikurangkan dan diberi jalan penyelesaian, maka rakyat sudah tentu dapat merasai kelonggaran yang besar dari segi kewangan kerana ia melibatkan perbelanjaan seharian.
Seperkara lagi yang rakyat mahu tahu, bagaimana bajet dapat mengimbangi kos berkaitan inflasi yang menjurus kepada kenaikan bahan mentah dan menyebabkan harga makanan menjadi lebih mahal.
Rakyat memberi keyakinan kepada Anwar melakukan perubahan ke arah transformasi kehidupan sosioekonomi yang lebih adil dan saksama.
Ia berdasarkan perjuangan beliau pada 1974 iaitu perjuangan semasa menjadi mahasiswa bagi membantu golongan miskin serta rakyat yang menderita di Baling, Kedah.
Berdasarkan perjuangan itu, pastinya pentadbiran diterajui oleh Anwar mampu melakukan yang terbaik dalam Bajet 2023 dan paling penting dapat mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan pendapatan rakyat jelata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!