Dua produk kosmetik dikesan mengandungi merkuri
PUTRAJAYA - Dua produk kosmetik iaitu Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream dikesan mengandungi merkuri.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membatalkan notifikasi produk tersebut.
"Orang awam digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi merkuri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, penjual dan pengedar produk itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta.
"Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.
Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
"Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!