PN Perak tegur tindakan menteri

Zainol Fadzi. Gambar kanan: Kor Ming menerusi akaun Twitternya menyatakan kekecewaan kegagalan MPTI menangani masalah pengurusan sampah
Zainol Fadzi. Gambar kanan: Kor Ming menerusi akaun Twitternya menyatakan kekecewaan kegagalan MPTI menangani masalah pengurusan sampah
A
A
A

IPOH - Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming seharusnya menggunakan saluran yang betul dalam membuat teguran terhadap isu pengurusan sampah di kawasan Teluk Intan.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, tindakan Ahli Parlimen Teluk Intan itu membuat teguran terbuka terhadap Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menerusi media sosial tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, perbuatan itu jelas menunjukkan suatu serangan terbuka terhadap penjawat awam negeri.

"Saya pun pelik, jika benar penjawat awam itu gagal melaksanakan tanggungjawabnya seharusnya beliau dipanggil untuk beri penjelasan.

"Anda seorang menteri maka jadilah seperti seorang menteri dan bukan bertindak seperti anda seorang pencipta kandungan menggunakan media sosial menyatakan kekesalan anda," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Kor Ming menerusi akaun Twitternya telah memuat naik gambar dan menyatakan kekecewaan terhadap MPTI yang didakwa gagal menangani masalah pengurusan sampah hingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Zainol Fadzi berkata, Kor Ming gagal mengamalkan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan segala teguran mengikut saluran betul.

"Apakah beliau terlepas pandang Anwar sebelum ini menyentuh jika kakitangan bawahan mahu menegur menteri atau pegawai atasan perlulah guna mekanisme seperti pertemuan setiap hari termasuk mesyuarat bulanan.

"Jika menteri mahu menegur boleh guna apa jua cara termasuk media sosial, bagi saya ini satu bentuk penganiayaan terhadap penjawat awam negeri," katanya.

Tambah beliau, perkara tersebut tidak seharusnya disuarakan secara terbuka tanpa proses pendengaran keadilan terhadap individu yang menuduh dan dituduh ketika wujud saluran komunikasi lain yang lebih berhemah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!