Pesona Huanggualu, perkampungan sebalik awan di Yunnan

Kampung Huanggualu terletak kira-kira 1,400 meter dari aras laut dan sentiasa diselubungi kabus. - Foto Bernama
Kampung Huanggualu terletak kira-kira 1,400 meter dari aras laut dan sentiasa diselubungi kabus. - Foto Bernama
A
A
A

YUNNAN - Terletak kira-kira 1,400 meter dari aras laut dan sentiasa diselubungi kabus, menjadikan Kampung Huanggualu di Malipo, Tianbao di sini, bagaikan sebuah desa di sebalik awan.

Keindahan panorama kawasan pedalaman wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Vietnam dan Myanmar ini turut membuatkan penulis terlupa bahawa kira-kira sejam sebelum itu menempuh perjalanan yang agak menggerunkan - menaiki bas di jalan berselekoh tajam dengan curam dan gaung dalam yang menunggu jika tersilap langkah.

Belum lagi diambil kira lelah menaiki penerbangan selama empat jam dari Beijing ke Kunming sebelum menyambung perjalanan dengan bas mini selama empat jam lagi ke bandar Weshan - bandar terdekat dengan perkampungan itu - yang terletak di Wilayah Autonomi Wenshan Zhuang dan Miao, tenggara Yunnan.

Benarlah kata Shen Xiaochang, pembantu peserta program yang penulis ikuti selama lima bulan di tanah besar China ini, perjalanan ke wilayah Yunnan memang tidak mudah kerana destinasinya adalah "syurga yang tersembunyi”.

"Di sini kalian boleh dengar dan saksikan sendiri secebis daripada ribuan kisah kejayaan program pembasmian kemiskinan di negara ini yang diusahakan oleh kerajaan,” ujarnya kepada rombongan kami yang turut disertai oleh 20 wartawan lain.

Menelusuri kisah kampung Huanggualu

Ketibaan kami di perkampungan yang didiami oleh etnik Yao - satu daripada 56 suku kaum yang diiktiraf oleh kerajaan China - disambut oleh 14 orang wanita pelbagai peringkat usia yang lengkap berpakaian etnik diiringi lagu selamat datang serta hidangan teh panas.

Selepas hampir lima bulan dikelilingi hutan batu metropolitan Beijing dan Shanghai, penulis yang berada di republik ini sebagai peserta Program China Asia Pacific Press Centre 2022 (CAPCC) sejak Julai, mengambil peluang menjamu mata dengan keindahan kampung itu sepuas-puasnya selain merakam gambar dan video.

Di sebalik samar-samar kabus tebal, penulis masih dapat melihat kehijauan ladang tomato yang terbentang sejauh mata memandang. Malah, kami dipelawa memetik buah tersebut untuk dinikmati.

Teh panas dan senyuman mesra oleh 14 wanita lengkap berpakaian etnik Yao menyambut ketibaan rombongan peserta CAPCC 2022 yang tiba di Kampung Huanggualu, Malipo, daerah Tianbao di wilayah Yunnan. - Foto Bernama
Teh panas dan senyuman mesra oleh 14 wanita lengkap berpakaian etnik Yao menyambut ketibaan rombongan peserta CAPCC 2022 yang tiba di Kampung Huanggualu, Malipo, daerah Tianbao di wilayah Yunnan. - Foto Bernama

"Saya boleh meraih kira-kira RMB150,000 (RM94,000) setahun daripada hasil ladang tomato seluas 4.5 hektar milik saya. Sekarang saya sudah kaya,” seloroh ketua kampung Zhao You Rong melalui penterjemah.

Kampung yang mempunyai 120 penduduk daripada 30 keluarga itu menjadikan tomato dan Lanxangia tsaoko (turut dikenali Amomum tsao-ko), iaitu sejenis herba daripada keluarga halia yang banyak digunakan dalam masakan komuniti tempatan serta ubat, sebagai tanaman "emas” yang turut mengeluarkan mereka daripada belenggu kefakiran.

Namun seperti pepatah Melayu, kejayaan tidak datang bergolek dan pepatah Cina pula menyatakan membina jalan adalah langkah pertama untuk menjadi kaya, yang mana dalam konteks kampung ini ia adalah benar. Pada 2014, kerajaan China mula membina jalan menghubungkan Kampung Huanggualu dengan Wenshan sekalipun berdepan cabaran bentuk muka bumi.

"Sebelum ini jalan di sini berlumpur dan becak, mengambil masa kira-kira lapan jam untuk sampai di sini dari bandar Wenshan. Kini hanya kira-kira sejam setengah,” kata Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) Tianbao, Zhang Hun.

Jalan raya ubah hidup penduduk

Zhang berkata, dengan adanya infrastruktur asas seperti jalan raya itu, penduduk kampung dapat menjual hasil tanaman mereka di bandar dengan lebih mudah.

Bukan itu sahaja, kemudahan Internet 5G turut disediakan di kampung ini dan penduduk didedahkan kepada pasaran dalam talian, yang mana buat masa ini kira-kira 40 peratus hasil tanaman mereka dijual menerusi kaedah tersebut dengan syarikat penghantaran datang mengambil hasil di rumah untuk dihantar kepada pelanggan.

"Ada ramai pegawai kerajaan yang datang dan memberikan pelbagai bantuan seperti bimbingan dan latihan untuk menggunakan telefon pintar dan menjual produk pertanian secara dalam talian,” kata Zhang.

Ternyata jualan dalam talian meningkatkan lagi pendapatan penduduk kampung kerana hasil tani mereka boleh dijual pada harga lebih tinggi, iaitu antara RMB60 dan RMB80 sekilogram berbanding hanya RMB5 atau kira-kira RM3 secara konvensional.

Secara langsung pendapatan penduduk bertambah daripada anggaran RMB30,000 hingga RMB40,000 (antara RM19,000 dan RM25,000) setahun kepada RMB120,000 (kira-kira RM75,000) setahun.

"Ada beberapa indikator digunakan untuk mengukur sama ada penduduk luar bandar ini telah keluar daripada kemiskinan tegar, antaranya ialah mereka tidak lagi risau pasal makanan, perubatan, pendidikan dan perumahan, sementara pendapatan per kapita individu pula melebihi RMB4,000,” jelasnya.

Perjalanan ke Kampung Huanggualu, Malipo, daerah Tianbao di wilayah Yunnan yang terletak kira-kira 1,400 meter dari aras laut. Pada 2014. - Foto Bernama
Perjalanan ke Kampung Huanggualu, Malipo, daerah Tianbao di wilayah Yunnan yang terletak kira-kira 1,400 meter dari aras laut. Pada 2014. - Foto Bernama

China lancar perang terhadap kemiskinan

Pada 14 November 2020, Yunnan yang terletak di barat daya China dan kaya dengan kepelbagaian etnik, mengumumkan yang ia telah membasmi kemiskinan mutlak selepas baki sembilan daerahnya dikeluarkan daripada senarai daerah miskin tegar.

Media tempatan China yang memetik pegawai setempat, melaporkan sejak 2012, kerajaan berjaya mengeluarkan 8,502 buah kampung di 88 daerah di Yunnan daripada senarai miskin tegar, membabitkan 8.8 juta penduduk merentasi pelbagai etnik.

Sebagai antara wilayah kurang membangun di China, Yunnan yang mempunyai daerah miskin terbanyak di negara itu, adalah antara medan pertempuran utama kerajaan dalam memerangi kemiskinan.

Antara langkah yang diambil ialah memindahkan penduduk di kawasan yang tidak mempunyai sumber mencukupi ke kawasan lain, membabitkan 1.5 juta orang yang dipindahkan ke lebih 2,800 petempatan baharu termasuk 19 kawasan yang mampu menampung lebih 10,000 penduduk masing-masing, lapor media China, CGTN.

China, sejak 2012, telah menghantar lebih tiga juta pegawai kerajaan ke kampung-kampung miskin di seluruh negara, antara lain bagi menentukan jumlah penduduk miskin, mengukur pendapatan, menilai keadaan rumah, mengenal pasti pelajar yang tercicir daripada persekolahan dan membanci pemilikan insurans perubatan.

Presiden China Xi Jinping dilaporkan berkata melalui pelbagai usaha yang dijalankan, kira-kira 98.99 juta penduduk luar bandar telah dikeluarkan daripada kemiskinan dalam tempoh 2012 hingga 2020, menjadikan keseluruhan 770 juta rakyatnya bebas daripada kemiskinan dalam tempoh empat dekad lalu.

Ini menyumbang kepada lebih 70 peratus pengurangan kemiskinan di seluruh dunia, sekali gus bermakna China mencapai matlamat pengurangan kemiskinan dalam Agenda Pembangunan Mampan 2030 kira-kira 10 tahun lebih awal. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!