Suspek rompak barang kedai emas masih diburu
SERDANG - Pihak polis masih memburu empat suspek yang terlibat dalam kejadian rompakan bersenjata di kedai emas sebuah pasar raya di Sri Kembangan di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti kesemua suspek yang berjaya melarikan diri bersama empat dulang emas di premis terbabit.
"Setakat ini belum ada sebarang perkembangan dan suspek masih diburu," katanya ringkas.
Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular malam tadi menyaksikan tiga suspek berada dalam premis berusaha memecahkan cermin menempatkan pameran barang kemas.
Fadzil berkata, siasatan awal di lokasi menemukan satu kelongsong peluru dari pistol semi auto yang digunakan suspek.
“Tiga daripada suspek yang memakai topi keledar tutup muka penuh masuk ke dalam pasar raya itu dan ke kedai emas berkenaan manakala seorang lagi suspek menunggu di luar.
"Salah seorang penjenayah turut menembak mati seorang lelaki berusia 28 tahun, dipercayai penyelia kedai emas terbabit selepas enggan memberikan kerjasama, tidak mengendahkan arahan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!