Bunyi ular sawa batik mengawan rupanya
BENTONG - Bunyi seakan benda jatuh membawa penemuan dua ekor ular sawa batik dipercayai tengah mengawan di atas siling sebuah rumah di Lorong Permai Chamang, di sini kira-kira jam 3 petang Ahad.
Menurut Som Salleh, 57, ketika kejadian, dia bersama seorang anak perempuannya berusia 26 tahun sedang berbual di bilik sebelah sebelum terdengar bunyi seakan benda jatuh.
"Menggigil juga dibuatnya sebab ternampak ekor ular sawa keluar dari atas siling yang sudah pecah. Ini kali pertama saya melihat ular sawa batik sebesar itu.
"Saya keluar dari rumah dan terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM). Sebenarnya saya dan anak sedang berbincang di bilik sebelah, nak beli siling baru sebab ada yang sudah pecah sikit sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujar pesara hospital itu, walaupun masih trauma, dia bersyukur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Nasib baik ketika kejadian, anak tidak tidur di bilik berkenaan. Jika tidak, tak tahu apa yang akan berlaku.
"Memang sebelum ini memang ada ular masuk kerana ada rumah terbiar berhampiran tapi haiwan itu keluar sendiri," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bentong, Leftenan (PA) Azizah Husain memberitahu, empat anggota bergegas ke tempat kejadian dan menemui dua reptilia itu pada siling rumah tersebut.
Katanya, kedua-dua reptilia seberat 32 kilogram (kg) dan panjang kira-kira hampir lima meter dan seekor lagi seberat 25kg sepanjang lebih empat meter itu berjaya ditangkap kira-kira 50 minit menggunakan penjerut.
"Bagaimanapun, kedua-dua reptilia ini akan dilepaskan di tempat yang selamat.
"Kita juga ingin menasihati supaya orang awam berhati-hati kerana musim panas akan hampir tiba menyebabkan ular akan mencari tempat yang lebih sejuk," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!