Gempa bumi Turkiye: SMART jumpa tujuh mayat di Nurdagi
SHAH ALAM - Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang kini berada di Turkiye telah berjaya mengeluarkan tujuh mayat di Nurdagi, semalam susulan tragedi gempa bumi di negara itu.
Dalam perkembangan terbaharu yang dikongsi di Facebook SMART, mangsa ditemui dan dikeluarkan pasukan Charlie 01 dan Delta 01 dari pasukan penyelamat kedua Malaysia (MAS-10) pada jam 5.55 petang waktu tempatan.
Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan kerana faktor cuaca.
“Atas faktor keselamatan pasukan, operasi seach and rescue (SAR) ditangguhkan pada jam 7.50 petang berikutan cuaca yang semakin sejuk,” katanya.
Sehingga kini, pasukan penyelamat negara sudah membawa keluar 25 mayat dan lima mangsa hidup.
Pasukan MAS-01 berlepas dari Malaysia pada minggu lalu, manakala pasukan kedua MAS-02 terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan SMART.
Gempa bumi kuat yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye pada 6 Februari lalu adalah tiga kali lebih kuat berbanding gempa bumi Marmara di barat laut negara itu yang berlaku pada 1999.
Bermagnitud 7.7 dan 7.6, ia telah menjejaskan lebih 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Hatay, Gaziantep, Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!