Bajet 2023: Kupon Menu Rahmah untuk bekas penagih

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) memohon agar kerajaan memperkenalkan kupon khas Menu Rahmah kepada bekas penagih dadah dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini.

Presidennya, Ahmad Lutfi Abdul Latiff berkata, inisiatif itu akan dapat memastikan kehidupan mereka dilindungi dalam komuniti.

Jelas beliau, perlaksanaannya boleh digerakkan secara tanggungjawab sosial korporat oleh syarikat seperti Mydin dengan kerajaan menjadi pemangkin kepada kejayaan usaha ini.

“MASAC boleh bertindak sebagai rakan strategik dalam melaksanakan perkara ini ke peringkat akar umbi terutamanya di bandar-bandar besar dan seterusnya boleh dikembangkan di desa oleh peniaga makanan yang lain.

“Kupon Menu Rahmah ini selaras dengan tonggak ihsan Malaysia Madani iaitu peduli dan belas kasihan termasuk kepada bekas penagih dadah yang telah insaf dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

“Sokongan kupon ini selama tiga ke enam bulan atau lebih untuk bekas penagih ini mampu memberikan mereka makanan asas untuk meneruskan kehidupan sebelum mendapat peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Lutfi turut mencadangkan agar para majikan yang menggaji golongan itu diberikan pelepasan cukai berstruktur bagi menyemarakkan lagi peluang pekerjaan kepada golongan penagih dalam pembentangan bajet kali ini.

Katanya, MASAC yang mempunyai pengalaman luas berkait perkara ini bersedia membantu menasihati kerajaan dalam membuat dasar ini, selaras dengan kejayaan Program Ribbon Kuning di Singapura.

“Tambahan dari itu, turut dicadangkan satu sistem baru rekod jenayah bekas penagih dadah dibangunkan melalui dana dari belanjawan kali ini bagi membantu bekas penagih yang telah bebas dadah selama lima tahun berturut-turut dipadamkan rekod jenayah dadah dari semakan majikan.

“Ia bagi membolehkan mereka mudah mendapat peluang pekerjaan dan seterusnya kembali ke pangkuan masyarakat dalam menjalani kehidupan normal agar nilai yang diterapkan melalui konsep Malaysia Madani dapat digerakkan serta dilaksana sebaiknya,” ujar beliau.

Tambahnya, MASAC juga bersedia memimpin bekas penagih dadah ini daripada kembali menagih atau wujudnya penagih baru dengan bantuan dana tahunan kerajaan.

Dana itu akan digunakan menggerakkan pelbagai aktiviti yang telah dirangka dengan kekuatan puluhan ribu alumni bekas penagih bersama MASAC melalui ahli gabungan sedia ada, sebagai usaha mendekati golongan bekas penagih di peringkat akar umbi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!