Pelayan seks ditahan, 54 bilik dipecahkan
KUALA LUMPUR - Tawaran seks di empat premis sekitar Jalan Petaling, di sini dibongkar susulan penahanan 36 wanita warga asing dalam serbuan pada Sabtu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, wanita disyaki pelayan seks yang ditahan kira-kira jam 9 malam itu terdiri daripada 26 warga Indonesia, Bangladesh (lima), India (dua), Sri Lanka (satu) dan China (satu).
Menurutnya, seramai 11 lelaki warga tempatan dan asing dipercayai pelanggan turut diperiksa untuk tindakan lanjut.
"Risikan mendapati lokasi premis menjadi tumpuan (hotspot) untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran.
"Empat premis ini dikenakan tindakan penutupan serta merta (sealed) di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan empat notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 kerana menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan tanpa kebenaran dan lesen pihak DBKL," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Isnin.
Tambah DBKL, pihaknya telah memecahkan 54 sekatan bilik yang dibina tanpa kelulusan.
"Sebanyak 155 pelbagai barang telah disita antaranya kondom, gel pelincir, tisu basah dan kamera litar tertutup (CCTV).
"Barangan yang disita dibawa ke Setor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Ujarnya lagi, DBKL juga telah mengenal pasti premis-premis yang dijadikan sebagai pusat pelacuran dan pengaturan tindakan penguatkuasaan sedang giat dilaksanakan secara berperingkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!