Telur dari Thailand jadi pilihan
RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Isu kekurangan bekalan telur tidak berlaku dalam kalangan penduduk yang tinggal di sempadan kerana bekalan bahan mentah itu boleh diperoleh dengan mudah dari Thailand.
Walaupun nilai mata wang baht lebih tinggi daripada ringgit iaitu 100 baht bersamaan RM12.90, namun perbezaan harga yang ditawarkan tidak ketara.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Rantau Panjang, rata-rata peniaga runcit menjual telur dari negara jiran ekoran bekalan tempatan sukar diperoleh.
Peniaga yang mahu dikenali sebagai Robiah berkata, dia hanya menjual telur gred A dari Thailand pada harga RM15 hingga RM16 sepapan sebagaimana jualan tempatan.
"Saya dapat menjual dengan harga tersebut kerana membuat belian secara borong.
"Jual telur Thailand bukan hendak cari untung tapi hendak memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan. Dengan adanya bekalan ini penduduk setempat tidak perlu keluar dari Rantau Panjang untuk membeli telur," katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi peniaga barangan basah, Harun memberitahu, jarak yang dekat antara Rantau Panjang dan Pekan Golok memudahkan lagi urusan pembelian stok.
Ujarnya, walaupun nilai ringgit rendah berbanding baht namun belian secara borong membolehkan dia memperoleh keuntungan.
"Untung sedikit bukan masalah, asalkan bekalan stok sentiasa ada. Telur merupakan keperluan yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk," katanya.
Ia diakui sendiri oleh peniaga telur di Pekan Golok, Thailand, Song memberitahu, ramai peniaga dari Malaysia datang ke kedainya untuk mendapatkan bekalan.
Ujarnya, majoriti peniaga itu mengeluh bekalan bahan mentah itu sukar diperoleh.
Dia berkata, selain golongan peniaga, penduduk Malaysia juga turut membuat pembelian telur secara runcit.
"Di sini (Golok) telur gred A (RM16), B (RM15.80), C (RM15.20) dan D (RM15)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!