'Dah baiki tapi kembali berlubang' - Exco
KUANTAN - Jalan berlubang yang mengakibatkan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Lubuk Kawah, sudah dibaiki sebelum ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau telah maklumat segera daripada pihak terlibat terutama, Jabatan Kerja Raya (JKR), Roadcare (RC) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) selepas insiden berkenaan.
"Saya difahamkan, RC selaku konsesi jalan di bawah pemantauan JKR telah membaiki dan menampal lubang tersebut pada 3, 5 dan 6 Februari lalu selain turut memasang kelengkapan Traffic Management Plan (TMP) seperti tanda amaran, kon dan lain-lain di lokasi kejadian selepas kerja-kerja dilakukan.
"Satu laporan polis juga telah dibuat pada 6 Februari lalu berkaitan kerosakan jalan tersebut dipercayai akibat paip pecah bawah tanah selain dimaklumkan kepada pihak JKR," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.
Beliau turut dimaklumkan kerja-kerja membaik pulih paip pecah bawah tanah sedang dijalankan oleh Paip dan prosesnya agak rumit.
"Namun kita tidak menyangka setelah empat hari dibaiki, lubang jalan ini kembali pecah yang mungkin terjadi sebelum kemalangan walaupun keadaan cuaca amat baik ketika itu seperti laporan RC yang diberikan kepada saya.
"Kejadian aliran air dan paip pecah bawah tanah terjadi tanpa diduga. Oleh itu, semua pihak terlibat perlu sentiasa memantau dan melaksanakan amanah dengan cepat serta berkesan seperti yang sering saya tekankan sebelum ini," tambah beliau.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Hairul Hafizi Mursid, 34, yang bekerja sebagai penolong penyelia pasar raya di Temerloh menunggang motosikal dipercayai terlanggar lubang sebelum terjatuh di tempat kejadian.
Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada hari sama.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar itu, beliau amat kesal dan berdukacita selain memandang serius kejadian berkenaan.
"Semoga ahli keluarga, isteri Allahyarham, Azimah Zahari yang baru seminggu berkahwin tabah menghadapi semua dugaan yang menimpa ketika ini yang kita semua tidak sangka.
"Saya amat berterima kasih dan menyanjung tinggi semua rakyat Pahang, badan bukan kerajaan (NGO), Lando, Brotherhood, pengguna jalan raya dan lain-lain di atas kerjasama yang amat baik menyampaikan maklumat, aduan dan membantu demi memastikan jalan raya negeri kita Pahang bertambah baik dari masa ke semasa," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!