Bekas pemain badminton keluar kenyataan rasis dikecam
SHAH ALAM - Seorang bekas pemain badminton negara didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur rasis mendapat kecaman netizen sejak mula dimuat naik di media sosial malam tadi.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di TikTok itu, bekas pemain itu mendakwa, bahawa segala kekacauan prestasi yang terjadi kepada pemain negara berpunca daripada pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang diurus oleh orang Melayu.
Menurutnya, layanan tidak adil BAM kepada pemain, terlalu memberi fokus kepada Datuk Lee Chong Wei dan meletakkan semua sumber kepada pemain nombor satu negara serta tidak menumpukan pembangunan pemain muda adalah antara sebab mengapa pemain negara kini kurang menonjol.
Katanya, pemain negara kurang menyerlah dari segi prestasi selain kurang berkemampuan untuk bersaing dengan pemain dari negara lain.
Bagaimanapun, komen yang menjadi perhatian netizen adalah apabila dia menyentuh soal bangsa menjadi punca kepada segala permasalahan tersebut.
Komen berbaur perkauman yang dikeluarkannya itu tular di laman Twitter apabila seorang individu bertindak memuat naik video tersebut di TikTok dan mengecam tindakannya.
Majoriti netizen yang menonton video tersebut turut mengecam tindakan bekas pemain itu kerana telah memainkan isu perkauman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!