Hubungan sulit dengan kekasih orang punca lelaki dibunuh

Mayat mangsa ditemukan terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, di sini, pada Sabtu.
Mayat mangsa ditemukan terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Hubungan sulit dengan kekasih orang dipercayai punca seorang lelaki dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 23 tahun dan 41 tahun di sebuah rumah di Kampung Sri Aman Puchong, pada jam 8 malam Ahad.

"Hasil soal siasat mendapati punca kejadian adalah (disebabkan) hubungan sulit mangsa bersama teman wanita suspek berusia 23 tahun yang terbongkar sebelum dia dibunuh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya turut merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama bagi membantu siasatan.

"Kita turut merampas sebilah parang di sebuah kandang lembu di bawah jejambat di Lebuhraya Lingkaran Putrajaya-Cyberjaya pada jam 12.05 tengah malam, hari ini (Isnin)," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, polis menahan seorang lagi suspek berusia 52 tahun di Taman Puchong Prima, Puchong, jam 2.30 pagi hari sama.

"Kita juga merampas sehelai seluar yang didapati ada kesan darah dan sehelai baju lengan panjang," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan itu bekerja di sebuah kedai cuci kereta di Kampung Sri Aman Puchong.

"Suspek berusia 41 tahun itu tinggal serumah dengan mangsa serta pernah membantunya untuk membersihkan kandang lembu berkenaan," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan seorang lelaki maut dipercayai ditetak sebelum mayatnya dibuang ke dalam tasik di belakang masjid berkenaan.

Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata, pemeriksaan dijalankan turut menemui sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terjunam di lokasi kejadian.

Mayat ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian baju T berwarna hitam dan berseluar jeans serta bertali pinggang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!