Bahas Titah Diraja secara mendalam, elak cemuhan - Fahmi

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen diharap membahaskan secara mendalam titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada Isnin.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan dan pembangkang perlu memanfaatkan sesi perbahasan Titah Diraja bagi membantu rakyat dan memajukan negara.

Beliau berkata, ahli Parlimen pembangkang boleh memberikan kritikan membina sebagai proses semak dan imbang pentadbiran kerajaan.

"Saya harap isi kandungan titah Tuanku dapat dicerakinkan, difahami secara mendalam dan dijadikan kupasan.

"Kita harap ahli Parlimen dapat memainkan peranan dalam perbahasan, bukan untuk mencemuh, tetapi benar-benar memikirkan nasib rakyat, (bahas) dasar yang boleh membantu memajukan negara,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen pada Isnin.

Fahmi berkata, bagi perkara melibatkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), aspek kesalinghubungan digital dan usaha mengemas kini Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 perlu menjadi antara perhatian ahli Parlimen.

"Soal proses pendigitalisasi serta usaha meminda akta itu sememangnya antara perkara yang sedang diusahakan KKD,” katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bertitah aspek kesalinghubungan digital merupakan antara asas terpenting pembangunan sesebuah masyarakat dengan ekosistem digital.

Seri Paduka bertitah ke arah itu, Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) telah dibangunkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara supaya rakyat dapat menikmati peluang yang bakal diwujudkan oleh teknologi tersebut dan seterusnya menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini hingga 30 Mac dengan sesi perbahasan Titah Diraja berlangsung selama lima hari bermula Selasa, sebelum sesi penggulungan perbahasan oleh Menteri pada 22 dan 23 Februari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!