'Terkejut jumpa bayi tidak bernyawa di masjid'
KUALA PILAH - Penemuan mayat bayi perempuan yang cukup sifat di pekarangan Masjid Kariah Kampung Sri Jemapoh, Juasseh di sini pada Ahad mengejutkan penduduk.
Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, Shariza Sharif, 55, berkata, kes berkenaan pertama kali berlaku di kawasan itu.
Menurutnya, bayi berkenaan dijumpai oleh tiga remaja lelaki yang sedang bergotong-royong membersihkan tembok masjid untuk tujuan mengecat baru kira-kira jam 3.30 petang.
"Bagaimanapun, sebaik melalui pekarangan masjid mereka menjumpai satu bungkusan yang di dalamnya ada kotak.
"Setelah diperiksa ada seorang bayi yang masih bertali pusat di dalamnya, namun sudah tidak bernyawa.
"Laporan polis dibuat pada hari sama untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan pada Isnin.
Pesara tentera itu turut melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan apa yang terjadi berikutan ada di antara dalam kalangan masyarakat di luar sana masih berusaha untuk mendapatkan zuriat.
"Kita tidak pasti bila bayi terbabit diletakkan di kawasan masjid selain tidak menyedari kehadiran individu membawa bayi berkenaan ke sini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani ketika dihubungi berkata, mayat bayi perempuan itu telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.
"Setakat ini usaha mengesan ibu bayi itu sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam ditemukan di perkarangan sebuah masjid Jemapoh, Juasseh di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!