Bekalan air ke tujuh kawasan terjejas pulih 94 peratus
KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air disebabkan henti tugas sementara empat Loji Rawatan Air (LRA) berikutan insiden pencemaran bau di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, sejak malam Sabtu lepas telah pulih hampir 94 peratus setakat 12 tengah Isnin.
Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri berkata, bekalan air di kawasan di Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat telah pulih sepenuhnya, manakala di kawasan Klang dan Shah Alam serta Kuala Selangor, masing-masing pulih 83 dan 99 peratus.
Katanya, kawasan di Kuala Selangor yang masih belum pulih bekalan air ialah Bukit Kerayong, manakala di Klang dan Shah Alam melibatkan 65 kawasan antaranya Kampung Bukit Cerakah, Aman Perdana, Bandar Baru Bukit Raja, Taman Sri Andalas, Seksyen 25 dan Taman Batu Tiga (Taman Mutiara Subang).
"Tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza daripada satu kawasan dengan kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bekalan air untuk semua kawasan terlibat dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi esok (Selasa).
Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih, sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
Pengguna yang telah mendapat bekalan air juga diharap menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.
Insiden pencemaran bau di Muka Sauk LRA Rantau Panjang menyebabkan LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 dihenti tugas sejak malam Sabtu (11 Februari) lepas, namun kesemua loji berkenaan telah kembali beroperasi sepenuhnya pada keesokan paginya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!