Tumbuk, tendang lelaki kerana tak tahan dengar bunyi bising
AMPANG - Seorang peniaga gerai makanan ditahan kerana dipercayai memukul dan menendang seorang lelaki di Padang Pandan Mewah, di sini pada 5 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian mangsa didatangi suspek yang dikenali sebagai Amirul pada jam 7.30 malam.
"Mangsa ketika itu sedang bersembang dengan anak buahnya, sebelum suspek menumbuk muka pengadu sehingga mengakibatkan kecederaan pada rahangnya.
"Suspek turut bertindak menendang pengadu sebanyak tiga kali, tiada senjata digunakan dalam kes ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohamad Farouk berkata, bertindak berdasarkan maklumat, sepasukan polis menahan suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun pada Sabtu.
“Siasatan mendapati punca kejadian adalah suspek tidak puas hati apabila mangsa membuat bising memarahi anak buah mangsa berhampiran gerai miliknya dengan suara yang kuat,” katanya.
Mohamad Farouk berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing didapati negatif.
“Suspek akan direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!