[VIDEO] UMK universiti awam pertama perkenal Menu Rahmah
BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di negara ini yang memperkenalkan Menu Rahmah.
Dengan harga RM4.90, mahasiswa boleh menikmati hidangan nasi putih, pelbagai lauk pilihan, sayuran dan segelas air sirap.
Pelajar Ijazah Pengajian Warisan, Muhammad Adam Ya'acob, 23, berkata, dia dan rakan-rakan menyambut baik Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan dan universiti.
"Dengan cara ini dapat meringankan beban pelajar sepanjang pengajian.
"Walaupun bergelar pelajar, kami sudah berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, sehingga ada dalam kalangan rakan-rakan yang mengikat perut serta mencatu makanan," katanya ketika ditemui di Kafeteria UMK Bachok sempena pengenalan Menu Rahmah, pada Isnin.
Hadir sama meninjau suasana makan tengah hari tersebut ialah Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak.
Bagi pelajar Ijazah Seni Bina Landskap, Mohd Izham Zahari Abdullah, 23, kebiasaannya dia membelanjakan sekitar RM8 hingga RM10 setiap hari untuk makan tengah hari.
"Tetapi apabila ada Menu Rahmah, separuh duit belanja dapat dijimatkan. Alhamdulillah, ia bukan sahaja menggembirakan saya tetapi dapat meringankan beban mak ayah yang menanggung pengajian saya," katanya.
Sementara itu, Razli memberitahu, pihaknya menyambut baik usaha yang dilakukan oleh pengurusan kafeteria universiti tersebut.
Ujarnya, sebagai tanda sokongan UMK mengurangkan kadar sewa kepada pengendali kafeteria berkenaan.
"Kita berharap pengusaha kafeteria di dua lagi kampus UMK di Pengkalan Chepa dan Jeli dapat menyokong inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!