Agong zahir ucapan terima kasih kepada Ismail Sabri

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ucapan tahniah pula diberikan buat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas segala jasa dan sumbangan bakti beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri kesembilan.

"Sekalung tahniah buat Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh beta sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 serta kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan," kata Seri Paduka Baginda ketika menyampaikan titah diraja pada istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada Isnin.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 dan menggalas amanah itu selama 15 bulan iaitu hingga November tahun lalu apabila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Bagaimanapun, setelah selesai PRU15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung sebelum Seri Paduka Baginda berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan syabas kepada Perdana Menteri yang telah membuktikan keabsahan melalui usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.

"Beta menyambut baik permuafakatantercapai dalam kalangan pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia yang selari dengan cetusan hasrat murni beta untuk membentuk sebuah kerajaan stabil dan utuh.

"Dengan demikian, kerajaan beta boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuatkan tekad bagi menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat beta," titah Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, Seri Paduka Baginda menghargai pengenalan inisiatif Negara Madani yang merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

"Besar harapan beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara. Usaha dan hasrat kerajaan untuk mengindahkan gerai-gerai di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur termasuk membina mercu-mercu tanda adalah bertepatan dengan aspek ihsan ataupun 'compassionate' yang terkandung dalam dasar baharu kerajaan yakni Malaysia Madani," titah Seri Paduka Baginda.

ARTIKEL BERKAITAN:Bahas Titah Diraja secara mendalam, elak cemuhan - Fahmi

ARTIKEL BERKAITAN:Pengurusan risiko bencana perlu diberi penekanan - Agong

ARTIKEL BERKAITAN:Agong harap Anwar PM terakhir dalam penggal pemerintahan

ARTIKEL BERKAITAN:Agong rasmi istiadat pembukaan penggal kedua Parlimen ke-15

ARTIKEL BERKAITAN:Muafakat Kerajaan Perpaduan jamin kestabilan politik, jana ekonomi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!