Had sempadan Malaysia-Singapura bincang tahun depan

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A
KUALA LUMPUR - Satu rundingan akan diadakan antara pegawai kedua-dua Kementerian Luar Malaysia dan Singapura Januari depan bagi membincangkan isu pertikaian had sempadan dua negara, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata inti pati utama yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu adalah berkaitan isu perluasan pelabuhan Johor Bahru dan kawasan sempadan perairan berdekatan Tuas, Singapura.

"Ini antara inti pati yang mahu kita selesaikan, dan saya yakin rundingan ini akan berjalan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan kedua-dua negara," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu perkembangan terkini pertikaian had pelabuhan antara Malaysia dan Singapura pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Saifuddin berkata terdapat rundingan berkaitan beberapa isu yang berjalan dengan baik dan diselesaikan antara kedua-dua negara sebelum ini.

Antaranya, kata beliau perkara yang sudah diselesaikan ialah pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan rundingan penjanjian air yang mana peguam negara Malaysia dan Singapura telah bertemu bagi membincangkan isu berkenaan.

Terbaharu, katanya tercetus pula isu yang melibatkan ruang udara dan maritim.

Isu ruang udara berkisar tentang bantahan Malaysia terhadap penggunaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) untuk Lapangan Terbang Seletar kerana menceroboh ruang udara Malaysia. Lapangan terbang itu hanya dua kilometer dari Pasir Gudang, Johor.

Pertikaian maritim Malaysia-Singapura pula timbul selepas republik itu mendakwa Malaysia menceroboh Perairan Wilayah Singapura sekitar Tuas dalam langkah memperluaskan had pelabuhan Johor Baharu.

“Untuk (kedua-dua) isu ini, pegawai antara kedua-dua negara telah pun bertemu seminggu lepas dan ia kita lihat dapat legakan keadaan bagi isu ini. Ia akan dibincang lebih lanjut dalam rundingan pada minggu awal Januari nanti," katanya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Saifuddin menjelaskan beliau sentiasa berkomunikasi dengan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan berkaitan isu kedua-dua negara.

"Setakat ini hubungan saya dan Menteri Luar Dr Vivian adalah baik. Kami boleh ber’WhatsApp’ dengan baik. WhatsApp terakhir kami ialah ke mana hendak bercuti sempena tahun baharu, ini menunjukkan hubungan kedua-dua negara adalah baik," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!