Penjaja Padang Polo setuju penempatan semula
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah memperoleh persetujuan daripada penjaja Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau dikenali Padang Polo bagi melakukan penempatan semula tapak perniagaan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, persetujuan hampir 60 penjaja itu dibuat selepas mengambil kira pandangan MBI mewujudkan sektor baharu perniagaan berteraskan pelancongan gastronomi.
Menurutnya, menerusi konsep itu, sebuah hub makanan berasaskan makanan Melayu dapat diwujudkan yang akan memberi nilai tambah dan lebih tarikan kepada pengunjung luar.
"Setakat ini peniaga tiada masalah kerana sudah faham konsep itu.
"Dulu kita hanya mahu pindahkan sahaja, sekarang kita bawa pasaran baharu dan nak jadikan satu produk gastronomi," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Kafe Lalaland di Jalan Lasam, dekat sini pada Isnin.
Langkah penempatan semula perniagaan dibuat susulan rungutan orang ramai apabila kawasan yang sepatutnya dijadikan lokasi riadah bertukar menjadi tempat makan.
Keadaan bertambah meruncing apabila ada kelompok penjaja menjadikan kawasan letak kenderaan sebagai tempat berniaga dan bukannya lot niaga khusus.
Mengulas lanjut, Rumaizi berkata, usaha penempatan itu adalah situasi menang-menang antara penjaja dan orang ramai yang menjalankan aktiviti rekreasi di taman itu.
"Apabila berpindah, penjaja akan mendapat pasaran lebih besar dan pengunjung pula dapat tambahan parkir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!