Penyamun dikejar dari Subang Jaya, diberkas di Klang

Polis berjaya menahan penjenayah kes samun di Klang pada Ahad selepas dikejar dari Subang Jaya. Gambar kecil: Hoong Fong
Polis berjaya menahan penjenayah kes samun di Klang pada Ahad selepas dikejar dari Subang Jaya. Gambar kecil: Hoong Fong
A
A
A

KLANG - Seorang penjenayah yang terlibat kes samun di Subang Jaya bertindak agresif memecut laju kenderaan sebelum melanggar kenderaan awam di Kampung Pendamar di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, suspek dikejar sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Katanya, suspek yang menggunakan kereta jenis Proton Inspira memandu secara berbahaya sehingga melanggar beberapa buah kenderaan orang awam.

"Sewaktu berada di kawasan Masjid Kampung Pendamar, Klang, suspek bertindak melanggar kereta yang digunakan polis secara agresif sehingga hampir melanggar kenderaan lain.

"Pada masa tersebut, pihak polis telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kenderaan suspek yang dipandu laju kemudian terbabas di tepi jalan kawasan Kampung Pendamar.

Menurut Hoong Fong, suspek terus melarikan diri dari lokasi tersebut sebelum berjaya ditahan di kawasan Jalan Kem, Pelabuhan Klang.

"Semakan mendapati suspek berusia 31 tahun itu memiliki pelbagai rekod lampau kesalahan jenayah serta dadah.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian ini dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Tambahnya, suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bagi siasatan lanjut berhubung kejadian samun yang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan kejadian ini, boleh disalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!