Titah Agong mesej jelas kepada ahli politik serius urus negara
KUALA LUMPUR - Titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Parlimen pada Isnin memberi mesej jelas kepada semua ahli politik khususnya wakil rakyat, agar lebih serius dan bertanggungjawab mengurus negara dengan terus memelihara perpaduan dan pembangunan yang dikecapi sejak 66 tahun lalu.
Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Jayum Anak Jawan berkata, ahli politik, sama ada dalam kerajaan mahupun blok pembangkang mempunyai tanggungjawab sama rata, bagi memastikan kelangsungan peranan sistem demokrasi, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.
"Kerisauan yang boleh menggugat kestabilan politik, terletak pada sikap dan tindakan ahli politik kurang matang seperti sering bertukar parti, kutuk-mengutuk antara satu sama lain, sehingga boleh menjejaskan peranan masing-masing dalam mengurus hal ehwal negara, untuk membawa kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Beliau yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata, titah Yang di-Pertuan Agong itu tepat pada masanya, ketika pemimpin negara bergelut mengurus pelbagai cabaran paling genting yang mungkin boleh menjejaskan perpaduan etnik, pembangunan dan keselamatan negara.
Jayum berkata, titah Al-Sultan Abdullah, menunjukkan baginda amat prihatin dan mengambil berat mengenai aspek kedamaian serta keselamatan negara demi kebajikan rakyat.
Pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 hari ini, Seri Paduka bertitah baginda khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya, sekiranya kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik, berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan.
Sependapat dengan Jayum, penganalisis politik, Dr Jamaie Hamil menyifatkan titah Al-Sultan Abdullah itu sebagai satu peringatan kepada parti politik negara, supaya memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dengan melupakan episod politik lama, dalam memacu negara yang stabil dan kukuh.
"Seri Paduka menzahirkan satu peringatan supaya memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan baginda sendiri. Dengan terbentuknya kerajaan ini, sebaiknya mana-mana parti politik memberi kerjasama, mengkritik dalam keadaan sewajarnya, melontarkan pandangan,” katanya.
Beliau menjelaskan negara mungkin menemui kegagalan seperti pasca Pilihan Raya Umum ke-14, jika kekusutan politik masih berterusan kerana Kerajaan Perpaduan dilihat berada di landasan betul, apabila sedang berusaha memperbaiki kehidupan rakyat dan prestasi negara di peringkat ASEAN.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, teguran Seri Paduka harus dilihat dalam konteks positif untuk sama-sama membina negara yang semakin baik dari segi politik, sosial dan ekonomi.
Sementara itu, Penganalisis Politik dan Media Sosial dari UiTM, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, budaya politik saman-menyaman harus dihentikan, sebaliknya memberikan fokus kepada masalah rakyat yang dihadapi ketika ini.
"Ia kerana medan politik hari ini banyak mengetengahkan isu saman dan mendendam sesama sendiri. Sepatutnya isu dan masalah rakyat harus diutamakan. Rakyat hendak lihat perubahan (dalam mengurus isu) seperti kenaikan harga barang, makanan dan barangan runcit serta kekurangan bekalan,” katanya.
Menyokong titah Seri Paduka, beliau berkata, sesi Parlimen kali ini harus dijadikan medan untuk membicarakan isu rakyat dan berdebat secara berhemah, untuk mengatasi masalah rakyat kerana masyarakat sudah muak melihat kontestasi politik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!