Shahaniza tawar diri tanding MKT UMNO
KUANTAN - Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin sah menawarkan diri bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.
Beliau berkata, borang pencalonan untuk bertanding jawatan itu sudah dihantar di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Isnin.
"Tepat jam 4.10 petang tadi (Isnin), saya sudah menyerahkan borang untuk bertanding MKT UMNO Malaysia.
"Dengan Nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Moga perjuangan ini mendapat Restu-Nya jua," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Difahamkan, Shahaniza antara individu terawal yang menyerahkan borang pencalonan itu ditemani Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Maran.
Bekas Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang menyatakan keyakinan bahawa mampu memulihkan sokongan rakyat khususnya kepada parti Barisan Nasional (BN) dan UMNO berdasarkan pengalaman serta penglibatannya dalam parti itu.
Beliau berpandangan, pengalaman dan penglibatan dalam parti sejak sekian lama memberi nilai tambah untuk dirinya menyumbang idea dan bersama-sama kepimpinan UMNO Malaysia untuk memastikan parti Melayu terbesar itu terus relevan di mata rakyat.
"Untuk mengembalikan kegemilangan parti ini, UMNO memerlukan barisan kepimpinan mantap dan mempunyai pelbagai latar belakang dan pengalamannya," katanya
Shahaniza yang merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu dan perubahan perlu dilakukan selaras perkembangan semasa bagi mengembalikan parti ini di hati rakyat.
"Saya sedar cabaran besar utama adalah menarik minat dan sokongan orang muda untuk kembali menyokong UMNO.
"Maka oleh itu, saya bersedia mendepani perkara utama ini," jelas beliau.
Menurutnya, hala tujunya cukup jelas iaitu untuk melaksanakan perubahan dalam UMNO serta memulihkan sokongan rakyat pelbagai peringkat kepada parti keramat ini.
"Tiada istilah rehat dalam perjuangan. Berjuang juga tidak boleh rasa kecewa. Bila kalah, tiada juga erti terus mengalah. Walau luka, kita harus bangkit dan terus berjuang.
"Selagi ada nafas dan denyut nadi ini, saya akan terus melangkah. Terus akan berbakti," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!