Beregu lelaki negara dijangka 'berpecah'
PENGARAH Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky tidak menolak kemungkinan menurunkan 'scratch pair' pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang membuka tirai pada Selasa.
Bagaimanapun, Rexy berkata, beliau perlu melihat tahap kesediaan dan kondisi para pemain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut memecahkan gandingan sedia ada di Dubai.
“Setakat ini saya tidak perlu beritahu taktikal apa perlu dibuat kerana yang penting adalah untuk menyediakan para pemain menghadapi cabaran di Dubai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Malaysia mempertaruhkan juara bertahan beregu lelaki dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan gandingan profesional yang kini berada di ranking kelapan dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Rexy sebelum ini pernah menggandingkan Aaron-Ee Yi ketika saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand.
Percaturan pakar beregu dari Indonesia itu ternyata menjadi apabila Aaron-Ee Yi menyumbang mata kemenangan menewaskan Jepun 3-2 dengan menumpaskan Akira Koga-Yuta Watanabe, 22-20, 21-17.
Mereka juga turut melakar kemenangan ke atas Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjalan 21-19, 21-17, sewaktu skuad negara disingkirkan India 3-2 di peringkat suku akhir.
Malaysia selaku pilihan keempat kejohanan di Dubai diundi dalam Kumpulan B bersama-sama India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah.
Dalam pada itu, Rexy mengingatkan para pemain agar tidak terlalu memikirkan ketiadaan seorang daripada pemain beregu lelaki utama India, Satwiksairaj Rankireddy yang digugurkan akibat kecederaan dan diganti Dhruv Kapila.
Sebaliknya, bekas juara Sukan Olimpik 1996 itu mahu anak buahnya untuk fokus terhadap diri mereka terlebih dahulu dan bersiap sedia menyahut cabaran negara pada edisi ketiga kejohanan BAMTC.
Malaysia belum pernah memenangi kejohanan berkenaan setakat ini, selepas tewas di suku akhir pada edisi pertama 2017 di Hanoi, Vietnam dan sekali lagi di peringkat sama pada edisi 2019 di Hong Kong. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!