'Anggaplah dia sebiji epal busuk' - Chong Wei
DATUK Lee Chong Wei turut tampil membidas kenyataan rasis yang dikeluarkan bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik.
Menerusi Facebooknya, Chong Wei berkata, sukan seharusnya mendukung rasa hormat dan tidak menerima sebarang bentuk perkauman.
“Jangan sesekali demi mengejar nak terkenal, sanggup menghancurkan keharmonian rakyat yang erat. (Perpaduan) bukan dibina sehari dua, tetapi berdekad-dekad.
“Anggaplah dia (Guang Yik) sebiji epal busuk, kawan-kawan," kata bekas jaguh badminton negara itu.
Pada masa sama, bekas pemain nombor satu dunia itu turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang bertindak pantas dalam mengatasi isu ini.
“Terima kasih kepada YB (Hannah) atas kecerdikan dan kepantasan mengendalikan isu ini,” katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial mengenai kenyataan Guang Yik yang berbaur perkauman apabila dia mengkritik pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ketika ini, Guang Yik yang juga bekas pemain pelapis percubaan BAM dilaporkan menetap dan berkhidmat sebagai jurulatih badminton di China.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!