Kertas siasatan himpunan bantah bakar al-Quran ke TPR

Azmi - Foto Bernama
Azmi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan dua kertas siasatan berhubung perhimpunan tanpa permit di hadapan Kedutaan Sweden dan Kedutaan Belanda di sini, pada 27 Januari lalu, telah hampir siap dan akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Rabu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan tersebut akan dirujuk untuk penelitian sebelum menunggu arahan tindakan lanjut daripada pihak pendakwaan.

"Setakat ini seramai 14 individu telah dipanggil dan selesai memberi keterangan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, pada Isnin.

Pada 27 Januari lalu, dua perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang telah diadakan di hadapan Kedutaan Belanda di Persiaran KLCC dan Kedutaan Sweden di Jalan Mayang Sari, di sini bagi membantah dan mengutuk tindakan ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar al-Quran.

Seramai 80 orang diianggarkan menyertai perhimpunan di hadapan Kedutaan Belanda, manakala hampir 400 orang lagi menyertai perhimpunan di hadapan Kedutaan Sweden bagi membantah tindakan biadap itu.

Paludan yang juga pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm pada 21 Januari lalu, telah bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). - Bernama

TAG: polis,kertas siasatan, al quran, denmark, bantahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!