Gempa bumi Turkiye: 'Mulianya penduduk Palestin'
GAZA CITY - Penduduk di Gaza bermurah hati apabila sanggup mendermakan darah kepada mangsa yang cedera akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Penyelaras dari Yayasan Al-Amal untuk anak-anak yatim, Naglaa al-Ghalayini memberitahu Al Jazeera bahawa kempen tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif solidariti yang dilancarkan sukarelawan Palestin selepas gempa bumi dahsyat yang mengorbankan puluhan ribu orang pada awal pagi Isnin lalu.
Katanya, kempen itu sebagai menyatukan idea bahawa dunia Arab dan Islam adalah 'satu dunia' dan apa yang dideritai Syria dan Turkiye turut dirasai Gaza dan Palestin.
"Memang benar kami di Gaza tidak mempunyai peralatan atau tenaga untuk membantu mangsa gempa bumi, tetapi kami mempunyai darah untuk diberikan kepada saudara di Turkiye dan Syria sebagai kesetiaan kepada semua orang yang menyokong Palestin dan Gaza," katanya.
Naglaa turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa di dua negara dilanda musibah dan mendoakan semoga mereka yang cedera cepat sembuh.
Dalam pada itu, seorang penderma Subhi Quta, 33, memberitahu Al-Jazeera bahawa dia datang menderma darah sebaik saja mendengar kempen itu dan menganggapnya sebagai peluang untuk membantu mangsa gempa bumi.
"Kami semua sedih dan terkejut selepas gempa bumi itu. Dalam perangan di Gaza sebelum ini, kita menyaksikan pemandangan bangunan runtuh dan mayat ditarik bawah bangunan, tetapi tragedi di Turkiye dan Syria adalah malapetaka besar," kata Subhi.
Difahamkan hampir 26 juta orang terkesan sejak gempa bumi memusnahkan tenggara Turkiye dan barat laut Syria sejak 6 Februari lalu.
Angka kematian telah meningkat kepada 33,000 ketika usaha menyelamat masih diteruskan. - Agensi
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!