Ancaman pengganas di Malaysia terkawal, kata Mat Sabu

Mohamad akui isu pengganas masih di tahap terkawal tetapi kerajaan tetap melaksanakan usaha membendung kegiatan itu di Malaysia. - Foto: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Mohamad akui isu pengganas masih di tahap terkawal tetapi kerajaan tetap melaksanakan usaha membendung kegiatan itu di Malaysia. - Foto: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ancaman pengganas di Malaysia masih berada di paras terkawal namun, Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa memandang serius isu terorisme ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kerajaan telah menjalankan kuarantin dan pengawasan terhadap individu yang pulang dari Timur Tengah terutamanya Iraq dan Syria.

“Memang terdapat beberapa orang yang telah ditangkap dan berada di bawah pengawasan sekarang ini tetapi ancaman terorisme secara keseluruhan di Malaysia ini dikawal termasuk mereka yang pulang dari Timur Tengah terutama dari Iraq dan Syria.

“Kumpulan (pengganas) di Malaysia ini tidaklah begitu merunsingkan kita. Kementerian Pertahanan bersama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memang menjadikan isu ini sebagai satu ancaman berat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, pihaknya kini dalam usaha menangani ancaman pengganas yang mana Malaysia bekerjasama dengan negara Asean termasuk Filipina, Indonesia, Thailand, Brunei, Malaysia dan Singapura.

“Kerjasama Asean dalam menangani ancaman pengganas ini kami selalu bangkitkan dan berbincang dengan secara serius.

“Buat masa ini, Malaysia ada penangkapan tetapi tidaklah kita hadapi suasana yang agak serius dan Kementerian Pertahanan bersama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan MKN, memang mengambil inisiatif awal membendung hal-hal ini berlaku di Malaysia,” ujar beliau.

Sebelum ini, Mohamad berkata, Kementerian Pertahanan menyifatkan ancaman pengganas luar seperti Daesh adalah serangan yang mungkin akan dihadapi Malaysia pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kata beliau, Malaysia berada dalam keadaan bersiap-siaga bagi menghadapi ancaman berkenaan.

Beliau berkata, peperangan dengan negara jiran tidak mungkin akan berlaku memandangkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara jiran berada dalam keadaan baik.

“Ancaman daripada pengganas tidak dapat dijangka memandangkan tiada maklumat berkenaan kem latihan mereka.

“Mereka boleh berada di mana-mana. Mereka tiada pangkalan tetapi boleh menguasai minda dan perkara ini perlu dipantau,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!