PN beri fokus Bajet 2023
SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) akan memberi fokus utama terhadap pembentangan Bajet 2023 sempena sidang Dewan Rakyat kali ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu sejajar dengan peranan gabungan tersebut sebagai pembangkang yang menjalankan tugas semak dan imbang terhadap kerajaan.
Jelas beliau, PN berusaha sedaya upaya dalam membawa suara rakyat selain memastikan urus tadbir negara yang lebih berintegriti.
"Alhamdulillah, hari ini (Isnin) saya dan ahli-ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negara PN hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.
"Kami akan mengambil bahagian dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung mulai 13 Feb hingga 30 Mac dan sidang Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka Baginda turut bertitah mengingatkan kepada semua ahli Parlimen supaya menumpukan usaha dalam memastikan kestabilan yang diimpikan semua dapat dicapai sepenuhnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin menambah, pembangkang komited untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat terus dipertahankan.
"Tindakan ini juga selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan PN," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!