10 titah Agong yang perlu diambil perhatian
TITAH Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat pada Isnin menjadi perhatian seisi negara.
Dalam titah tersebut, Seri Paduka Baginda menyatakan 10 perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Antara perkara tersebut adalah membendung isu ketirisan dana awam termasuk inisiatif mempercepat dan memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar bagi mengimbangi kos sara hidup.
Kita sedia maklum, isu berkenaan bukan suatu perkara yang boleh dipandang ringan memandangkan kadar inflasi tinggi bagi barangan keperluan sedang melanda rakyat kini.
Ia sehingga membawa kepada cadangan supaya pencarum dibenarkan mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Oleh itu, sekiranya inisiatif itu dapat dijalankan dengan lancar dan berjaya, kita pasti akan melihat keseimbangan antara isi rumah dengan harga barang yang kian meningkat.
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan komitmen Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi rasuah berskala besar.
Penghargaan tersebut sudah tentu mencerminkan keyakinan Yang di-Pertuan Agong terhadap kepimpinan Anwar meskipun pentadbirannya tidak begitu stabil.
Hubungan baik dengan institusi diraja sedikit sebanyak dapat menjamin keabsahan sesebuah pimpinan dengan lebih lama.
Kerajaan juga diminta meneruskan usaha memerangi kemiskinan menerusi program pembasmian kemiskinan tegar bagi mencapai sasaransifar miskin tegar pada tahun 2025.
Sekiranya ditelusuri, ia mempunyai kaitan rapat dengan titah Seri Paduka Baginda yang keempat iaitu meneruskan projek-projek infrastruktur pengangkutan awam berimpak tinggi.
Kita sedia maklum, projek infrastruktur berupaya menjadi pengganda positif bagi pertumbuhan ekonomi negara kerana ia bakal menarik lebih ramai pelabur ke dalam banyak sektor perindustrian di negara ini.
Justeru, rancaknya perindustrian di negara ini dapat mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya yang dapat membawa individu-individu berpendapatan rendah keluar daripada kepompong berkenaan.
Seri Paduka Baginda juga berpandangan isu berkaitan pendatang asing tanpa izin dan pelarian termasuk pemohon suaka hendaklah segera ditangani dengan tegas oleh Kerajaan Perpaduan selain pada masa sama perlu menangani trend peningkatan jenayah siber yang semakin membimbangkan.
Saban hari, masyarakat hampir tidak terlepas daripada kedengaran individu yang kerugian puluhan atau ratusan ribu ringgit berikutan jenayah di platform berkenaan.
Dengan talian kecemasan 997 yang telah diwujudkan sebelum ini bagi menangani isu tersebut, inisiatif berkenaan boleh diperkuatkan lagi dengan idea dan cadangan di peringkat kementerian sejajar dengan titah Seri Paduka.
Keenam, pendekatan lebih sistematik dan strategik hendaklah segera dilaksanakan bagi menangani sepenuhnya kesan daripada musibah bencana alam terutamanya banjir yang berlaku saban tahun.
Menerusi perkara ini, pastinya jabatan utama yang terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu bekerja lebih keras bagi menutup sebarang kemungkinan terhadap musibah itu.
Seri Paduka Baginda dalam titah berkenaan juga menzahirkan impian untuk memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo khusus untuk mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat di pedalaman Sarawak dan Sabah.
Meskipun nampak bersahaja, namun ia tidak sewajarnya dipandang enteng oleh pimpinan negara memadangkan kedudukan kedua-dua negeri itu yang terletak di sebelah Kalimantan yang bakal menjadi pusat pentadbiran baharu Republik Indonesia, maka ia pasti mencuri tumpuan baharu buat para pelabur.
Justeru, lebuh raya berkenaan perlu diberi fokus utama sebagai kesiapsiagaan mengimbangi hal itu.
Dalam titah tersebut juga, Anwar diharapkan menjadi Perdana Menteri bagi tampuk pemerintahannya.
Al-Sultan Abdullah turut menyatakan segala kemelut politik dapat dielakkan jika semua pihak melupakan perbezaan demi kepentingan negara.
Titah Seri Paduka Baginda itu dilihat mewakili suara rakyat yang inginkan kesejahteraan ketika ini kerana negara harus berehat daripada segala kontroversi.
Yang terakhir, Seri Paduka Baginda mengingatkan Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya jangan bersikap hanya menilik balas dan menanti pujian sebaliknya perlu menjaga nama baik serta kehormatan dan berkhidmat setulus hati.
Pesanan ini bukan satu perkara yang retorik memandangkan rakyat telah menaruh keyakinan terhadap mereka bagi membawa suara dan cadangan ke peringkat nasional.
Kesimpulannya, meskipun hanya terdapat 10 titah, namun ia mengandungi 1001 makna buat negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!