171 mesin jual air bernilai RM2 juta disita

Penguat kuasa JKNT melakukan pemeriksaan mesin jual air. - Foto JKNT (Gambar kecil: Dr Kasemani)
Penguat kuasa JKNT melakukan pemeriksaan mesin jual air. - Foto JKNT (Gambar kecil: Dr Kasemani)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bertindak menyita sebanyak 171 buah mesin jual air (MJA) bernilai lebih RM2 juta kerana didapati beroperasi tanpa lesen dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil melalui pelaksanaan siri Ops Khas Sita MJA yang dijalankan JKNT di seluruh negeri ini bermula Januari hingga Disember.

Menurutnya, kesemua mesin jual air berkenaan disita di bawah Peraturan 360(c) Peraturan Makanan 1985 kerana melanggar arahan iaitu tidak mendapat kelulusan dari KKM sebelum menjalankan operasi.

"Daripada keseluruhan 526 buah mesin yang dikenal pasti aktif beroperasi di seluruh negeri Terengganu, sebanyak 355 buah atau 67.5 peratus telah pun berjaya mendapatkan lesen.

"JKNT telah mengarahkan pemilik mesin tidak berlesen segera membuat permohonan lesen melalui Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) bagi mengelak mesin mereka dari terus disita," katanya di sini pada Selasa.

Dr Kasemani berkata, di bawah Peraturan 360 C (4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, semua pemilik mesin jual air perlu mendapat lesen dari KKM sebelum menjalankan perdagangan atau perniagaan.

Katanya, pemilik mesin yang ingkar boleh dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM2,000 atau berdepan hukuman denda maksima RM10,000 atau dua tahun penjara jika disabitkan kesalahan di bawah peraturan yang sama.

Jelas Dr Kasemani, lesen MJA perlu dipantau dan dikawal selia oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNT bagi menentukan air yang dijual kepada pengguna adalah selamat selain mesin diuruskan dengan baik.

Kata beliau, antara aspek diperiksa meliputi tahap kebersihan, berada di lokasi yang jauh dari punca pencemaran, pintu dan penutup pada muncung pendispen, tidak menyatakan sebarang tuntutan kesihatan dan menggunakan sumber air awam yang bersih.

"Operasi ini akan dijalankan secara berkala untuk memastikan semua MJA mempunyai lesen serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi memastikan kualiti air yang dihasilkan dan dijual kepada orang awam adalah selamat sekali gus mengelak keracunan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!