Sesi PMQ: Anwar sedia jawab soalan ahli Parlimen
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk menjawab soalan daripada para wakil rakyat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.
Buat julung kalinya, sesi pertanyaan kepada Perdana Menteri akan diadakan di Dewan Rakyat selama satu jam.
"Insya-ALLAH pagi ini buat kali pertama saya akan menjawab soalan Ahli-Ahli Parlimen dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat.
"Untuk pengetahuan semua, sesi ini akan diadakan pada setiap hari Selasa pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sesi PMQ mula dilaksanakan pada mesyuarat kali ini yang dibuka semalam, antara pembaharuan yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul sebelum ini dilaporkan berkata, untuk permulaan, sesi itu akan dilaksanakan secara ujian rintis pada setiap Selasa.
Pada Selasa, Perdana Menteri menjawab soalan yang ditujukan kepada beliau dan pada Khamis ialah sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat tersebut.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung mulai 13 Februari hingga 30 Mac dan diikuti persidangan Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April.
Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 24 Februari ini. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!