Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban mencecah 35,000

Pasukan MAS-10 mengeluarkan mangsa yang terkorban dalam runtuhan akibat gempa ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi. - Foto Bernama
Pasukan MAS-10 mengeluarkan mangsa yang terkorban dalam runtuhan akibat gempa ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi. - Foto Bernama
A
A
A

ANKARA - Angka kematian akibat gempa bumi di Turkiye meningkat kepada 31,643 menjadikan jumlah korban keseluruhan termasuk Syria melebihi 35,000 manakala puluhan ribu lagi cedera, lapor Agensi Anadolu memetik agensi bencana negara.

Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin berkata, usaha bantuan PBB membabitkan keperluan mendesak seperti tempat tinggal, makanan dan persekolahan serta menampung keperluan kemanusiaan selama tiga bulan di Syria.

Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan menderma 4.5 juta afghanis (AS$50,000) dalam bentuk tunai untuk membantu penduduk yang terjejas di Türkiye, lapor agensi berita Bakhtar pada Isnin.

Kumpulan pertama bekalan bantuan yang menuju ke Turkiye dan dibiayai kerajaan China tiba di Istanbul pada 11 dan 12 Februari.

Bekalan lain termasuk mesin elektrokardiograf, peralatan diagnostik ultrasonik, kenderaan pengangkutan perubatan dan katil hospital akan dihantar pada minggu ini.

Pasukan penyelamat dari China setakat ini berjaya menyelamatkan lebih 10 mangsa.

Masalah dan respon

Kekurangan peralatan perubatan dan anggota penyelamat telah mengehadkan keupayaan Bulan Sabit Merah Syria dalam membantu di kawasan bencana, kata Mey al-Sayegh, jurucakap Persatuan Palang dan Bulan Sabit Merah (IFRC) Antarabangsa yang berpangkalan di Beirut.

Al-Sayegh berkata, bahawa Bulan Sabit Merah Syria tidak mempunyai peralatan yang mencukupi kerana perang yang dahsyat di negara itu sejak 2011.

Cuaca sejuk di Syria dan Türkiye merupakan satu lagi cabaran serius dalam usaha membantu mangsa gempa bumi, katanya.

Mengulas mengenai sekatan semasa Amerika Syarikat ke atas Syria, al-Sayegh berkata sekatan itu menghalang dan melambatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Syria yang dilanda gempa bumi.

IFRC memperuntukkan 1 juta franc Swiss (AS$1.09 juta) kepada Bulan Sabit Merah Syria dan 2 juta franc Swiss kepada Bulan Sabit Merah Turkiye bagi membolehkan bantuan segera disalurkan kepada mangsa yang terselamat, menurut jurucakap IFRC. - Bernama

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!