Tukang cuci menyamar jadi sami dipenjara 12 bulan
SEREMBAN - Seorang tukang cuci restoran dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki warga emas dengan menyamar sebagai sami tahun lalu.
Majistret, Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam menjatuhkan hukuman itu terhadap A N Hemavathy, 29, selepas mengaku bersalah atas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memperdaya seorang lelaki berusia 74 tahun dengan mendorongnya mempercayai dan membuat pembayaran sebanyak RM8,750 ke dalam akaun Public Bank milik tertuduh dengan mengaku diri sebagai sami 'Tuhan Kalima' yang mana ia adalah tidak benar.
Kesalahan itu dilakukan antara 26 Oktober hingga 22 Disember 2022 di Terminal One, Seremban.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, P A Krishnaveni memberitahu, tertuduh sudah insaf dan memohon mahkamah memaafkan kesalahan dilakukan selain berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran selain mengambil kira kerugian ditanggung mangsa.
Mengikut fakta kes, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada tertuduh yang memperkenalkan diri sebagai sami Tuhan Kalima.
Tertuduh memberitahu dia membawa pesanan dari Tuhan yang ingin menambah kekayaan kepada mangsa yang bertuah kerana diberi peluang keemasan itu.
Tertuduh juga mengaku dirinya sami dan dapat memberikan kekayaan dan kesejahteraan kepada mangsa.
Mangsa yang terpedaya telah mengikut kata tertuduh dengan membuat pindahan wang RM8,750 ke dalam akaun tertuduh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!