Rasuah 'lori kebal': 22 lagi penguatkuasa JPJ ditahan SPRM
PUTRAJAYA - Seramai 22 lagi penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 32 hingga 55 tahun.
"Mereka ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 10 pagi hingga 4.15 petang hari ini," katanya.
Menurut sumber, kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak kira RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000.
Jelas sumber, tangkapan ini merupakan siasatan peringkat kedua dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Pada 16 April lalu, seramai 24 penguat kuasa JPJ ditahan SPRM dan mereka direman sehingga Selasa depan.
Khamis lalu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid dalam kenyataannya kepada media memberitahu semua 24 penguat kuasa JPJ yang direman SPRM akan ditahan kerja selama dua bulan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Penguat kuasa JPJ antara yang diberkas lindungi sindiket 'lori kebal'
24 anggota JPJ direman bantu siasatan kes 'lori kebal'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!