Siasat terperinci dakwaan pesakit diarah pulang tukar pakaian
IPOH - Kerajaan Perak akan menyiasat secara terperinci mengenai dakwaan yang tular di media sosial seorang pesakit wanita diminta meninggalkan Hospital Kampar kerana berpakaian kurang sopan oleh pegawai perubatan bertugas.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, berdasarkan maklum balas diberikan pihak hospital, kejadian berlaku pada 12 Februari lalu jam 11 malam apabila seorang wanita hadir di Unit Kecemasan Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, selepas diperiksa, pegawai bertugas menegur pakaian kurang sopan yang dipakai wanita berkenaan sebelum bertindak meninggalkan kaunter di unit kecemasan hospital berkenaan.
"Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya tahu pakaian yang sesuai untuk pergi ke tempat-tempat tertentu. Tetapi dalam keadaan kecemasan pakaian apa pun orang tak marah. Jadi saya perlu dapatkan penjelasan kedua-dua belah pihak mengenai isu ini dalam kadar segera.
"Saya tak boleh nak salahkan sesiapa tetapi perkara ini saya akan siasat," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Mediklinik Sejahtera di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan tular di media sosial seorang wanita yang ingin mendapatkan rawatan di Hospital Kampar diminta pulang menukar pakaian oleh pegawai bertugas kerana memakai seluar pendek.
Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata, pihaknya bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan beberapa isu fasiliti kesihatan di negeri ini.
Menurutnya, antara isu tersebut termasuklah pembinaan Hospital Kampar baharu yang perlu dilaksanakan segera memandangkan kelulusan sudah dibuat pada tahun 2019.
Beliau berkata, pembinaan tersebut perlu direalisasikan kerana ia sudah dipersetujui semua pihak termasuk KKM melibat kawasan baharu yang telah dikenal pasti.
Selain itu juga, pihaknya mahu peruntukan yang dijanjikan oleh Menteri Kesihatan terdahulu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menaik taraf Unit Kecemasan HRPB turut diluluskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!