Rafizi usul Dewan Rakyat ambil tindakan pada Wan Ahmad Fayhsal
KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengusulkan supaya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan fitnah terhadap Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Wan Ahmad Fayhsal telah membuat kenyataan mengelirukan berhubung isu pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Mengikut peraturan 36(12), mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan disifatkan menghina majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan berkenaan.
“Machang (Wan Ahmad Fayhsal) sebelum ini kata dalam manifesto PH ada menghapuskan PTPTN. Itu satu pembohongan kerana tak ada janji itu.
“Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan (Dewan Rakyat) ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Sebaik mengusulkan perkara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor meminta Rafizi membuat usul berkenaan secara bertulis.
Rafizi sebelum itu mencelah sewaktu sesi soalan tambahan dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.
“Adakah kerajaan ada iltizam politik untuk memansuhkan hutang PTPTN ini seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH baru-baru ini?
“Sekarang ini pun, saya maklum Pandan (Rafizi) pejuang tegar PTPTN dan Hang Tuah Jaya (Adam Adli Abdul Halim) aktivis yang benar-benar ingin perjuangkan PTPTN untuk anak muda, adakah ada tempoh masa strategi sebenar?” kata Wan Ahmad Fayhsal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!