[VIDEO] 'Untung kecil tak apa, asalkan boleh bantu'

Muhamad Salim (dua dari kiri) bersama Jegan (dua dari kanan) menunjukkan salah satu menu yang akan disediakan dalam Menu Rahmah yang akan dilancarkan pada 1 Mac nanti.
Muhamad Salim (dua dari kiri) bersama Jegan (dua dari kanan) menunjukkan salah satu menu yang akan disediakan dalam Menu Rahmah yang akan dilancarkan pada 1 Mac nanti.
A
A
A

BAYAN BARU - Pengurus Restoran Hameediyah Sungai Ara, Muhamad Salim Ahamed Seeni Pakir mengakui tidak memperoleh untung yang besar dalam menyediakan Menu Rahmah pada 1 Mac nanti.

Bagaimanapun katanya, perkara itu jatuh nombor dua kerana tujuan restoran nasi kandar itu menyediakan menu ekonomi tersebut bagi membantu golongan tidak berkemampuan menikmati juadah di premis berkenaan.

Menurutnya, bermula Mac nanti, hanya dua daripada tiga cawangan restoran tersebut iaitu di Lebuh Campbell dan Sungai Ara akan menyediakan Menu Rahmah.

"Ada dua menu yang akan disediakan dalam Menu Rahmah nanti dengan harga RM5 iaitu ayam goreng, kuah dengan sayur dan daging lembu, kuah dengan sayur.

"Kita masih dalam perbincangan sama ada menu tersebut akan disertakan sekali minuman atau tidak. Perkara itu akan dikemaskini dalam Facebook Hameediyah dalam masa terdekat.

"Jika ditanya soal untung, memang untung kecil kerana harga bahan mentah yang tidak menentu, tetapi kita nak sama-sama dengan kerajaan untuk bantu rakyat terutamanya pada bulan Ramadan nanti," katanya selepas memperkenalkan Menu Rahmah Restoran Hameediyah Sungai Ara, di sini pada Selasa.

Kata beliau, menu tersebut akan disediakan selama dua bulan dan akan dikaji semula mengikut faktor harga bahan mentah.

"Setakat ini, kami sasarkan dua bulan dan akan diputuskan sama ada akan diteruskan atau sebaliknya. Banyak faktor yang kita kena perincikan terutamanya soal harga bahan mentah. Mungkin selepas dua bulan, kita akan teruskan namun akan kecilkan saiz lauk.

"Kita juga mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin bekeajAsama dalam penyediaan Menu Rahmah ini. Menu ini akan disediakan setiap hari selama lima jam bermula 5 petang hingga 10 malam, sama ada untuk dimakan di restoran atau dibawa pulang," katanya.

Muhamad Salim berkata, sebanyak 15 ekor ayam dan lapan hingga 10 kilogram daging lembu akan diperuntukkan untuk sehari dalam penyediaan menu ekonomi tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan menggesa lebih banyak kedai makan untuk turut serta dalam inisiatif menawarkan Menu Rahmah.

Beliau berkata, buat masa ini, 19 kedai makan termasuk Restoran Hameediyah komited dalam menawarkan Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan pada Januari lalu.

"Kita berharap semakin banyak kedai makan boleh menawarkan Menu Rahmah dan kita sedang berbincang dengan pelbagai pihak yang berminat untuk turut serta," katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan inisiatif Menu Rahmah dan sebanyak 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, orang ramai kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!