Nelayan maut selepas dua bot bertembung
LUMUT - Seorang nelayan ditemukan maut manakala dua yang lain terselamat selepas dua bot bertembung di Kuala Bagan Panchor, Pantai Remis di sini pada Selasa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak memaklumkan, sepasukan anggota bomba diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.58 pagi.
"Terdapat tiga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu dan akibat pelanggaran itu, kesemua mangsa jatuh ke dalam laut.
"Dua daripadanya berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan manakala seorang lelaki berusia 63 tahun dilaporkan masih hilang," katanya.
Menurutnya, operasi mencari diteruskan sebelum mangsa ditemukan sekitar jam 8.55 pagi oleh nelayan.
"Mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian dan berjaya dibawa ke daratan.
"Mangsa kemudiannya disahkan maut oleh pasukan perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 9.20 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!