Jawatankuasa khas ditubuh tambah baiki prosedur kerja JPJ
PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji semula prosedur dan amalan kerja jabatan itu dalam usaha menangani isu salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan anggotanya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata jawatankuasa khas ditubuhkan minggu lepas itu diberi tempoh dua minggu untuk menyediakan laporan dan cadangan penambahbaikan terhadap prosedur dan amalan kerja yang dilaksanakan ketika ini.
“Jawatankuasa khas diketuai Pengarah Bahagian Integriti JPJ itu akan melihat semula setiap prosedur dan amalan kerja serta mengenal pasti ruang yang membolehkan gejala rasuah berlaku.
“Mereka diberi ruang secukupnya untuk menyediakan laporan serta cadangan penambahbaikan, dan kita juga akan berkongsi laporan itu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media selepas Ops Khas Lebih Muatan di sini hari ini.
Shaharuddin berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu tidak hanya menumpukan kepada kes tangkapan anggota penguatkuasa JPJ Pulau Pinang oleh SPRM, tetapi melibatkan usaha penambahbaikan jabatan secara keseluruhan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata penahanan 22 lagi anggota penguatkuasa jabatan itu oleh SPRM hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 46 orang tidak merencatkan pengoperasian JPJ di Pulau Pinang.
Shaharuddin berkata walaupun dianggap sebagai di luar jangkaan, pihaknya akur tindakan penahanan secara beramai-ramai oleh SPRM itu adalah baik sebagai permulaan perubahan secara menyeluruh prosedur dan amalan kerja jabatan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Penguat kuasa JPJ antara yang diberkas lindungi sindiket 'lori kebal'
Pada Selasa lalu, SPRM menahan 24 anggota penguatkuasa JPJ kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah dengan melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya membawa lebih muatan.
Hari ini, SPRM mengesahkan 22 lagi penguatkuasa JPJ Pulau Pinang ditahan di Ibu Pejabat SPRM negeri itu kerana disyaki terlibat rasuah.
Mengenai Ops Khas Lebih Muatan, Shaharuddin berkata operasi di sekitar Lembah Klang itu menahan 20 lori yang melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa lebih muatan.
Sementara, 30 lori ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, antaranya meletakkan kenderaan di lorong kecemasan, tiada lesen memandu dan tidak memiliki lesen kenderaan perdagangan, katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!