Kilang lebur logam sisa e-waste haram diserbu lagi

Andansura (depan) menunjukkan jongkong aluminium siap diproses yang ditemui hasil pemeriksaan ke atas sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan pada Selasa.
Andansura (depan) menunjukkan jongkong aluminium siap diproses yang ditemui hasil pemeriksaan ke atas sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah kilang melebur logam daripada sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini diarah tutup selepas diserbu pihak berkuasa semalam.

Operasi kilang tersebut dibongkar Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang bersama pihak Majlis Bandaraya Kuantan pada 25 Januari lalu hasil aduan awam susulan berlaku pencemaran udara akibat asap tebal dan bau busuk daripada pembakaran terbuka yang dilakukan selama 24 jam.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, hhasil pemeriksaan itu, kilang tersebut telah diarah menghentikan operasi serta-merta dan penahanan operasi kelengkapan serta sitaan beg yang disyaki e-waste turut dilakukan.

Menurutnya, pihak kilang didapati gagal mematuhi arahan itu sebaliknya meneruskan operasi seperti biasa malah ada struktur baharu telah dibina.

Pasukan Hazmat digunakan bagi mengesan tahap bahaya pencemaran di kilang haram berkenaan.
Pasukan Hazmat digunakan bagi mengesan tahap bahaya pencemaran di kilang haram berkenaan.

"Susulan itu, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah menyertai pemeriksaan lanjutan bersama pihak JAS, polis, bomba, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (Selasa).

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa pekerja kilang disyaki warga asing bertindak melarikan diri.

"Bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) digunakan dalam pemeriksaan ini bagi mengesan tahap bahaya pencemaran sebelum pegawai dari agensi terlibat dibenarkan masuk ke kawasan kilang," katanya ketika ditemui di lokasi kilang itu pada Selasa.

Relau berisi aluminium cair yang ditinggalkan pekerja.
Relau berisi aluminium cair yang ditinggalkan pekerja.

Andansura berkata, hasil pemeriksaan mendapati kerja-kerja membakar e-waste dan proses melebur logam aluminium masih berjalan di kilang tersebut.

"Turut ditemui kira-kira 600 tan e-waste dan ketulan jongkong aluminium yang siap diproses.

"Terdapat relau yang masih berisi aluminium cair dan ketulan jongkong masih panas dipercayai baru siap diproses ditinggalkan pekerja," katanya.

Beliau berkata, pihak JAS telah melakukan pemeriksaan dan mendapati kilang tersebut melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Beg berisi e-waste yang ditemui diletakkan dihadapan kilang menunggu untuk diproses
Beg berisi e-waste yang ditemui diletakkan dihadapan kilang menunggu untuk diproses

"Tindakan undang-undang dan pendakwaan akan diambil terhadap kilang ini berdasarkan bukti yang diperoleh hasil pemeriksaan itu.

"Setakat ini pemilik kilang dan negara sumber e-waste ini belum dikenal pasti.

"Kita serahkan kepada agensi berkaitan untuk melalukan siasatan namun minta operasi kilang haram ini dihentikan segera dan tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pihak terlibat," ujarnya.

Tambah beliau, siasatan juga perlu dilakukan bagaimana sisa e-waste yang begitu banyak boleh dibawa masuk untuk diproses secara haram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!